senarai rempah ratus dalam masakan Resepi Dapur Timur



senarai-rempah-ratus-resepi-masakan-timur

Senarai Rempah Ratus Dalam Masakan Resepi Dapur Timur

Masyarakat Malaysia dan Asia umumnya banyak menggunakan rempah ratus dalam masakan dari zaman dahulu lagi kerana banyak khasiat dan manfaat rempah ratus yang boleh dieksploitasi untuk kesihatan tubuh badan manusia.

Pelbagai rempah ratus tidak semua yang kita tahu nama dan kegunaannya bukan? Mari kita mengenal serba sedikit herba dan rempah ratus yang selalu digunakan sebagai panduan.

Berikut disenaraikan nama nama rempah ratus, jenis rempah ratus dan kegunaannya.

Lada Hitam / Black Pepper

Lada hitam atau nama saitifiknya Piper Nigrum sangat baik untuk memanaskan tubuh serta melancarkan penghadaman. 

Kebiasannya serbuknya dicampurkan ke dalam sup dan banyak dimasukkan dalam masakan barat. Ianya juga agen anti bakteria menjadikan ia sangat bermanfaat dalam membantu mengurangkan gejala selesema dan batuk.

Kulit luar biji lada hitam pula mengandungi zat yang boleh membantu melangsingkan badan. Pengeluar terbesar lada hitam adalah Vietnam, Brazil, Indonesia, Malaysia dan India.

Biji Sawi/Mustard Seed

Terdapat tiga jenis iaitu black mustard (Brassica nigra), brown Indian mustard (B. juncea), or white mustard (B. hirta/Sinapis alba).

Di Malaysia kita lebih banyak menggunakan biji sawi berwarba hitam kerana ianya lebih mudah di dapati. Ia Kaya dengan kandungan asid lemak serat, zat besi, Omega 3, kalsium, magnesium, fosfurus, protein, selenium dan niasin.

Ia mampu meredakan masalah penghadaman dan mempertingkatkan lagi metabolisma tubuh . Selenium yang terkandung di dalamnya adalah antara nutrisi yang dikatakan dapat membantu mengurangkan risiko arthritis, asma, dan tekanan darah rendah.

Selalunya ianya ditaburkan sahaja di dalam hidangan sayuran, sup atau ditumis dalam masakan seperti kari.

Bunga Lawang

Bunga lawang ( star anise ) ialah satu lagi rempah yang banyak digunakan di Malaysia.

Bunga lawang mempunyai bau yang wangi dan kuat. Bunga lawang dijadikan rempah untuk menambah rasa dalam makanan sama seperti kulit kayu manis dan bunga cengkih.

Banyak masakan Melayu dan India yang menggunakan rempah ini seperti ditumis untuk memasak nasi minyak , sup, masakan lauk pauk seperti kari dan kurma.

Dari segi perubatan tradisional pula , ia digunakan untuk mengubati colic (angin) dan rheumatik (sakit sendi).

Biji Ketumbar

Biji Ketumbar sangat kaya dengan kandungan serat, magnesium, flavonoid dan zat besi.

Dapat membantu mempertingkatkan fungsi penghadaman, membantu melancarkan pernafasan serta kesegarannya dan juga dapat meningkatkan daya fokus.

Jintan Putih

Dengan mengunyah jintan putih dikatakan dapat membantu meredakan rasa lapar  dan mengurangkan keinginan untuk menikmati makanan manis seperti kek dan coklat sekaligus menjadikan ia rempah yang berkesan untuk pelangsingan badan.

Nama sainsnya adalah Cuminum cyminum atau Carum carvi . Biji jintan putih memiliki bau yang cukup harum. Jintan putih bersifat antibakteria, antioksidan, dan antikarsinogen.

Biji jintan putih mempunyai manfaat antikanser. Selain itu jintan putih juga dapat digunakan sebagai ubat untuk sakit jantung, haid tidak lancar, dan sukar untuk  tidur.

Kayu Manis

Kayu Manis atau Cinnamon digunakan secara meluas dalam masakan, bakeri , minuman dan pelbagai lagi. Ia juga dijadikan pewangi dan juga digunakan sebagai ubat tradisional sejak dulu lagi.

Minyak kulit kayu manis baik untuk menyembuhkan selsema, demam sejuk dan masalah usus.

Kulit kayu manis pula  boleh diasah pada belakang pasu atau lesung dan disapukan pada parut jerawat untuk mengurangkan kesan parut.

Jintan Manis

Jintan manis dapat membantu melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, menggalakkan penghasilan susu badan dan membuang angin dalam badan.

Caranya adalah dengan mengamalkan minum setengah cawan air rebusannya setiap pagi. Jintan manis juga dapat membantu membuang lemak dengan meminum air rebusan secara konsisten setiap pagi dan petang selama empat minggu .

Buah Pelaga

Buah pelaga atau Cardamon merupakan satu lagi rempah pelbagai guna dari zaman dahulu. Ianya sangat berkesan dalam membantu mengatasi masalah perut yang tidak selesa dan masalah angin dalam perut.

Ianya juga bermanfaat membantu proses detoksifikasi. Aroma panas di dalamnya juga membantu mempertingkatkan aliran darah.

Buah laga digunakan secara meluas dalam masakan, membuat manisan dan dalam minuman.

Halba

Daun dan biji halba adalah berguna . Biji halba selalunya digunakan untuk menumis dalam masakan seperti kari .

Ianya berkhasiat dalam melancarkan penghadaman dan satu lagi kegunaannya adalah membantu menambahkan pengeluaran susu ibu untuk ibu yang menyusukan bayi.



0 comments :